PENDAFTARAN MAJIKAN & PEKERJA

PDF
MAJIKAN UTAMA
Majikan yang mengambil pekerja secara terus untuk bekerja dengannya. Semua pembayaran gaji dan urusan perkhidmatan diuruskan oleh majikan utama ini.

MAJIKAN LANGSUNG
Majikan yang wujud di bawah majikan utama untuk menjalankan sesuatu kerja secara subkontrak. Majikan langsung berhak sepenuhnya kepada pekerja yang diambilnya untuk bekerja.

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN
Majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih dikehendaki mendaftar dan membayar caruman setiap bulan kepada PERKESO mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969. Memastikan semua pekerja yang diambil oleh majikan langsung telah didaftarkan dan caruman mereka dibayar.


PENDAFTARAN MAJIKAN
Majikan mesti berdaftar di PERKESO dalam tempoh 30 hari dari tarikh beroperasi. Bagi tujuan pendaftaran, majikan dikehendaki mengisi borang-borang berikut dengan lengkap dan jelas:
1.  Borang 1 (Borang Pendaftaran Majikan) perlu disertakan dengan 2 salinan dokumen-dokumen berikut:-
(a)  Syarikat Sdn Bhd
• Borang 9 (Akta Syarikat 1965)
• Borang 49 (Akta Syarikat 1965)
(b)  Kepunyaan Tunggal / Perkongsian
• Borang D (Perakuan Pendaftaran)
• Borang A (Perakuan Perniagaan) atau
(c)  Pejabat Peguam
•Salinan Amalan Guaman daripada Majlis Peguam atau
(d)  Klinik
• Borang 12 (Akta Perubatan 1971 – Kelulusan daripada MMA) atau
(e)  Pejabat Audit
• Akta Syarikat 1965 – Kelulusan Juruaudit atau
(f)  Pertubuhan / Persatuan
•Borang 3 (Peraturan) Akta Pertubuhan 1966 (Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984) atau
(g)  Lain-lain
• Dokumen seperti yang ditetapkan.

2.  Borang 2 (Borang Pendaftaran Pekerja)
Ejaan nama dan kedua-dua nombor kad pengenalan pekerja perlu ditulis sepertimana yang tercatat dalam kad pengenalan pekerja. Borang 1 dan Borang 2 tersebut perlu dihantar ke pejabat PERKESO yang berhampiran. Nombor Kod Majikan dengan PERKESO akan diperuntukan dan digunakan dalam semua urusan.

Majikan hendaklah menyelenggara dan menyimpan Daftar Pekerja yang menunjukkan butir-butir berikut bagi tiap-tiap bulan untuk setiap pekerja:-
• Nama
• Pekerjaan
• Jumlah caruman di bawah Akta bagi bulan itu
• Bahagian caruman pekerja
• Gaji bulanan
• Elaun
(Daftar ini tidak diperlukan lagi jika majikan telahpun menyimpan suatu daftar yang hampir serupa dan butir-butir yang tersebut di atas telah juga ditunjukkan dalam daftar itu secara manual ataupun elektronik.)

Nota :
• PERKESO hanya menggunakan Nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Negara untuk semua urusan pekerja dan tidak lagi menggunakan nombor Keselamatan Sosial Pekerja.
• Selepas majikan mendaftar dengan PERKESO, jika berlaku perubahan nama atau alamat perusahaan atau jenis / status ketuanpunyaan, perubahan itu hendaklah dimaklumkan kepada pejabat PERKESO yang berkenaan dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan.
• Jika pekerja baru diambil bekerja, majikan hendaklah memasukkan maklumat pekerja baru ke dalam Jadual Caruman Bulanan (Borang 8A).
• Semua majikan hendaklah menyimpan daftar pekerja termasuk semua rekod bayaran caruman selama 7 tahun.
• Borang Pemberhentian Pekerja (Borang 3) tidak lagi digunakan.


PEKERJA
Seseorang yang diambil bekerja oleh sesebuah majikan di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan merupakan seorang pekerja sepertimana takrifan di bawah Akta.
i)   Bergaji RM3,000 atau kurang sebulan.
Pekerja yang menerima gaji bulanan RM3,000 atau kurang adalah wajib untuk mencarum dengan PERKESO. Perlindungan PERKESO hanyalah untuk pekerja warganegara Malaysia dan Pemastautin Tetap sahaja.

ii)  Bergaji lebih daripada RM3,000 sebulan.
Pekerja yang menerima gaji bulanan lebih daripada RM3,000 sebulan dan belum pernah berdaftar serta mencarum dengan PERKESO diberi pilihan sama ada bersetuju ataupun tidak untuk turut dilindungi di bawah Akta ini. Persetujuan perlu diperolehi dari kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja dengan mengemukakan tiga salinan Notis Pilihan serta Borang 2 kepada pejabat PERKESO berkenaan. Pekerja tersebut hanya layak diliputi di bawah Akta ini dari tarikh notis itu diterima oleh pejabat PERKESO berkenaan.

iii) Prinsip ‘sekali layak-terus layak’.
Bagi pekerja yang telah mencarum dengan PERKESO dan kini bergaji melebihi RM3,000 wajib terus mencarum selaras dengan prinsip ‘sekali layak terus layak’. Sekali pekerja berkenaan itu layak di bawah Akta, dia akan terus layak dilindungi tanpa mengira jumlah gaji bulanannya selepas itu. Semua pekerja yang layak perlu didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO tanpa mengira status perkhidmatannya sama ada sementara, sambilan, percubaan, kontrak atau telah disahkan dalam jawatan.

Kategori pekerja yang dikecualikan dari liputan oleh PERKESO adalah seperti berikut:-
• Kakitangan kerajaan
• Pekerja khidmat rumah
• Bekerja sendiri
• Pekerja asing
• Tuan punya dan pasangan kepada perniagaan kepunyaan tunggal atau perkongsian

*SEBARANG DOKUMEN-DOKUMEN RASMI BERKAITAN PENDAFTARAN MAJIKAN DAN PEKERJA BOLEH DIDAPATI DI LINK DIBAWAH:

http://www.perkeso.gov.my/ms/component/rsfiles/download.html?path=Borang/Pendaftaran+Majikan+%26+Pekerja.zip

3 comments:

  1. untuk daftar majikan dokumen apa lagi yang diperlukan

    ReplyDelete
  2. Boleh buat semakkan ke kalau majikan kata ada nama pekerja yang kena reje ct oleh perkeso maksudnya pekerja tu tak dapat bantuan ERP sedangkan dah bekerja lebih 2-3 tahun dan merupakan pencarum perkeso?

    ReplyDelete
  3. Adakah perkeso boleh didaftar oleh pekerja tanpa majikan?

    ReplyDelete